Tajuk Jurnal: 
TAHAP KOMPETENSI JEMAAH NAZIR SEKOLAH DAN HUBUNGANNYA DENGAN KEMAHIRAN MENILAI KUALITI PENGURUSAN SEKOLAH 
					
    Kajian ini telah dijalankan oleh  Mohd Idrus Kadir, Mohammed Sani Ibrahim dan Jamil Ahmad. Ia diperolehi menerusi sumber Prosiding Seminar Penyelidikan Siswazah 187. Kajian ini dijalankan oleh pengkaji bagi menentukan tahap kompetensi Jemaah Nazir  Sekolah  (JNS)  dan  hubungannya  dengan  kemahiran  menilai  kualiti pengurusan sekolah.     Pernyataan masalah dinyatakan dengan jelas. Persoalan yang dikemukakan adalah mengenai perhubungan antara tahap kompetensi Nazir Sekolah (NS) dengan aspek mengendali penaziran, aspek pengurusan sekolah, aspek jantina dan pengalaman, aspek kemahiran dan keyakinan peribadi serta mencari pemboleh ubah yang menyumbang kepada kemahiran dan keyakinan NS.    
    Secara teori, kajian ini mempunyai rasional secara teori kerana pengkaji telah memfokuskan kepada kepentingan kompetensi oleh Nazir Sekolah untuk menilai kualiti pengurusan terhadap sesebuah sekolah supaya tidak menimbulkan sebarang persoalan dan rungutan. Tahap kompetensi juga mempunyai hubungan signifikan dalam konsep Pengurusan Kualiti Menyeluruh (TQM). Pelbagai perubahan dinamik  yang berlaku  di  sekolah  menuntut  setiap  anggota  Jemaah Nazir Dan Jaminan Kualiti (JNJK)  mempunyai  tahap  kompetensi yang amat tinggi dalam menjalankan tugas penaziran di institusi pendidikan.
    Kajian yang dijalankan ini adalah mempunyai kepentingan terhadap pengurusan kualiti pihak Nazir Sekolah (NS) dalam memastikan setiap ahli-ahlinya mempunyai tahap kompetensi yang tinggi dalam menilai kualiti pengurusan sekolah dari aspek pengurusan kepimpinan organisasi, pengurusan kurikulum, pengurusan kokurikulum dan pengurusan HEM.
    Daripada pembacaan yang dibuat, tiada kajian literatur yang dinyatakan oleh pengkaji dalam kajian ini. Pengkaji hanya mencatatkan mengenai pengenalan terhadap Jemaah Nazir Sekolah (JNS) yang kini dikenali sebagai Jemaah Nazir Sekolah dan Jaminan Kualiti  (JNJK). Pengkaji juga menyatakan tentang skop-skop penaziran yang menjadi asas kepada pembentukan persoalan-persoalan kajian.
    Hipotesis dinyatakan dengan jelas oleh pengkaji berdasarkan setiap permasalahan yang diutarakan di dalam kajian ini. Antara hipotesis yang dikemukakan adalah seperti berikut:
- HO1 Tidak terdapat perbezaan yang signifikan kemahiran NS menilai kualiti pengurusan sekolah dalam aspek pengurusan kepimpinan organisasi, pengurusan kurikulum, pengurusan kokurikulum dan pengurusan HEM berdasarkan jantina.
 
- HO2 Tidak terdapat perbezaan yang signifikan kemahiran NS menilai kualiti pengurusan sekolah dalam aspek pengurusan kepimpinan organisasi, pengurusan kurikulum, pengurusan kokurikulum dan pengurusan HEM berdasarkan pengalaman penaziran.
 
- HO3 Tidak terdapat kesan interaksi yang signifikan antara jantina dengan pengalaman penaziran terhadap kemahiran menilai kualiti pengurusan sekolah dalam aspek pengurusan kepimpinan organisasi, pengurusan kurikulum, pengurusan kokurikulum dan pengurusan HEM dalam kalangan NS.
- HO4 Tidak terdapat perbezaan yang signifikan tahap kemahiran NS menilai kualiti pengurusan sekolah dalam aspek pengurusan kepimpinan organisasi, pengurusan kurikulum, pengurusan kokurikulum dan pengurusan HEM berdasarkan kemahiran peribadi.
- HO5 Tidak terdapat perbezaan yang signifikan tahap kemahiran NS menilai kualiti pengurusan sekolah dalam aspek pengurusan kepimpinan organisasi, pengurusan kurikulum, pengurusan kokurikulum dan pengurusan HEM berdasarkan keyakinan peribadi.
 
- HO6 Tidak terdapat kesan interaksi yang signifikan antara tahap kemahiran peribadi dengan tahap keyakinan peribadi terhadap kemahiran menilai pengurusan sekolah dalam aspek pengurusan kepimpinan organisasi, pengurusan kurikulum, pengurusan kokurikulum dan pengurusan HEM dalam kalangan NS.
- HO7 Tidak terdapat korelasi yang signifikan antara aspek kemahiran dan keyakinan mengendali penaziran, membuat pertimbangan, memberi khidmat profesional, komunikasi interpersonal, dan mengurus diri dengan tahap kemahiran menilai kualiti pengurusan sekolah dalam kalangan NS.
- HO8 Tidak terdapat korelasi yang signifikan antara aspek keyakinan kompetensi peribadi dengan tahap kemahiran menilai kualiti pengurusan sekolah dalam kalangan NS.
- HO9 Tidak terdapat sumbangan yang signifikan antara kemahiran dan keyakinan peribadi NS iaitu mengendali penaziran, membuat pertimbangan, memberi khidmat profesional, komunikasi interpersonal, dan mengurus diri dengan tahap kemahiran menilai kualiti pengurusan sekolah dalam kalangan NS.
 
    Definisi secara operasi tidak dinyatakan di dalam kajian ini. Pengkaji cuba mengukur  tahap kompetensi melalui persoalan-persoalan seperti yang dinyatakan di atas. Pengukuran dapat dibuat dengan analisis secara statistik terhadap kesemua hipotesis sama ada signifikan atau tidak.
    Pengkaji telah menggunakan kaedah yang bersesuaian dan telah dapat menjawab persoalan yang dikemukakan. Kajian  ini berbentuk tinjauan yang menggunakan pendekatan kuantitatif dan pensampelan. Borang soal selidik digunakan sebagai  instrumen kajian. Kaedah yang digunakan adalah bersesuaian dengan matlamat kajian untuk memperoleh nilai secara statistik terhadap persoalan kajian dan menguji hipotesis sama ada mempunyai hubungan yang signifikan atau tidak.
     Kaedah pensampelan dijalankan oleh pengkaji di dalam kajian ini.
				Sampel  kajian  ini  terdiri  daripada  164  orang  nazir  sekolah  dari  semua  pejabat Jemaah  Nazir  Sekolah  dan  Jaminan  Kualiti  (JNJK)  seluruh  negara.  Jumlah  nazir sekolah  yang  terlibat  sebagai  sampel  ialah  sebanyak  115  lelaki  (70.1%)  dan  49 perempuan  (29.9%).  Pengkaji  menggunakan  saranan  Krejcie  dan Morgan  (1970) dalam menentukan saiz sampelnya. Pensampelan Rawak Berstrata digunakan dalam kajian ini kerana terdapat ciri-ciri yang tidak seimbang dalam populasi  khususnya  keseimbangan  jantina.  Dengan  cara  ini  setiap  ahli  di  dalam populasi mempunyai peluang yang sama terpilih menjadi sampel dan setiap jantina dapat  diwakili.  Selain  itu,  teknik  ini  digunakan  untuk memastikan  setiap  pejabat cawangan  JNJK mempunyai wakil yang mencukupi untuk dibuat kajian di samping dapat mengawal kesahan dalaman sampel. 
    Didapati tiada ralat sumber yang nyata dilakukan oleh pengkaji di dalam kajian beliau. Sedikit ralat mungkin akan berlaku daripada maklum balas responden terhadap soal selidik yang dilakukan. Responden mungkin memberikan jawapan yang tidak tepat di dalam borang soal selidik yang diedarkan. Ini telah dikawal oleh pengkaji dengan mengedarkan jumlah soal selidik dalam bilangan yang banyak iaitu sebanyak 164.
    Kaedah secara statistik digunakan di dalam kajian ini. Penganalisisan data dibuat menggunakan program  SPSS versi 16. Seterusnya, statistik deskriptif seperti peratusan, min dan sisihan lazim digunakan bagi menjawab  persoalan  kajian.  Statistik  inferensi  juga  digunakan  bagi  menguji hipotesis  kajian  iaitu  ujian  korelasi,  ANOVA,  MANOVA  dan  Regresi  Berganda. Kaedah yang digunakan adalah bersesuaian dengan matlamat kajian untuk memperoleh nilai secara statistik terhadap persoalan kajian dan menguji hipotesis sama ada mempunyai hubungan yang signifikan atau tidak.
    Keputusan kajian dipersembahkan dengan jelas berdasarkan analisa yang dilakukan. Keputusan kajian dihuraikan secara terperinci kepada dua bahagian iaitu Rumusan Analisis Faktor Demografi dan Rumusan Analisis Objektif Kajian. Daripada Rumusan Analisis Faktor Demografi, pengkaji mendapati NS masih memerlukan kursus penulisan laporan bagi sesuatu pemeriksaan sekolah sungguhpun  NS  terdiri  daripada  profil  yang  pelbagai  serta  amat  berpengalaman. Manakala daripada Rumusan Analisis Objektif Kajian,
				terdapat dua pembolehubah  kompetensi  NS  didapati menyumbang  kepada  kemahiran  NS menilai  kualiti pengurusan sekolah iaitu pemboleh ubah memberi khidmat profesional dan mengurus diri 
    Terdapat kekangan yang dihadapi oleh pengkaji dalam menjalankan kajian ini. Pengkaji mendapati bilangan yang tidak seimbang dalam  populasi  nazir sekolah (NS) dari segi jantina. Bagi mengatasi keadaan ini, pengkaji menggunakan Teknik Pensampelan Rawak Berstrata.    
    Kesimpulan kajian dinyatakan dengan jelas. Ini disokong dengan persembahan data-data yang dianalisis secara statistik iaitu statistik deskriptif dan statistik inferensi. Sebagai rumusan umum, keputusan kajian ini menyimpulkan bahawa faktor  kemahiran  memberi  khidmat  profesional  dan  kemahiran  mengurus diri  adalah  penyumbang  utama  NS menaziri  kualiti  pengurusan sekolah. Selain itu faktor-faktor lain seperti pengalaman dan tahap keyakinan juga mempengaruhi kompetensi NS dalam menilai sesebuah sekolah.
Assalamualaikum & dalam sejahtera,
ReplyDeleteTerima kasih atas perkongsian yang bermanfaat ini. Boleh saya tanya, bagaimana untuk dapatkan teks penuh artikel ini kerana tidak banyak literatur yang ditemui berkaitan aspek ini. Saya perlukannya untuk artikel saya.
Terima kasih & barakallahu fik.