Skip to main content

PENGURUSAN STRATEGIK DAN IKLIM SEKOLAH MEMPENGARUHI KEPUASAN KERJA GURU

  1. PENGENALAN

Tugasan ini membincangkan mengenai perhubungan antara pengurusan strategik dan iklim sekolah terhadap kepuasan kerja. Di dalam tugasan ini, terdapat dua pembolehubah yang tidak bersandar iaitu pengurusan strategik dan iklim sekolah. Manakala, pembolehubah yang bersandar adalah kepuasan kerja guru. Perkaitan antara dua jenis pembolehubah ini dibaincangkan bagi melihat sama ada terdapat perhubungan yang signifikan ataupun tidak


 

2.0    KONSEP PENGURUSAN STRATEGIK

2.1    Definisi

Apakah yang dimaksudkan dengan pengurusan strategik? Terdapat pelbagai definisi yang diberikan tentang konsep ini. Dua istilah penting di sini iaitu 'pengurusan' dan 'strategik' membawa pengertian yang mendalam dan penting di mana gabungan kedua-duanya pula menjelaskan proses pengurusan yang kritikal yang berlaku dalam mana-mana organisasi. Menurut Peter Drucker (1972), pengurusan ialah satu proses sosial yang dibentuk untuk mendapatkan kerjasama, penyertaan dan penglibatan ahli-ahli dalam sesebuah organisasi untuk mencapai sesuatu matlamat atau objektif yang paling berkesan. Bagi tujuan memastikan kerjasama, penyertaan dan penglibatan tersebut mampu diperoleh, maka perlu ada satu pendekatan atau strategi digunakan bagi merealisasikannya. Perkataan 'strategi' yang berasal dari perkataan Latin iaitu 'strategos' memerihalkan seni pemerintahan dalam ketenteraan (generalship) di mana strategi membezakan pelan tindakan yang menyeluruh dengan taktik yang terpisah-pisah. Strategi merupakan hala tuju di mana sesebuah organisasi menggerakkan keseluruhan sumbernya bagi mencapai matlamat yang telah ditetapkan. Dalam konteks pengurusan, sesuatu proses itu dikatakan strategik apabila melibatkan pemilihan cara terbaik untuk memberi respon kepada situasi-situasi persekitaran yang dinamik dan hostile. Menurut Allison & Kaye (1997), "Being strategic requires recognising the choices and committing to one set of responses instead of another".

Pengurusan strategik didefinisikan dengan pelbagai cara. Menurut Pearce dan Robinson (2000) pengurusan strategik merujuk kepada satu set keputusan dan tindakan hasil daripada formulasi dan pelaksanaan rancangan-rancangan yang dibentuk bagi mencapai objektif organisasi. Dalam bukunya Strategic Management: Formulation, Implementation and Control, Pearce dan Robinson menyenaraikan sembilan tugasan kritikal dalam pengurusan strategik bermula dari membentuk misi organisasi sehinggalah kepada menilai kejayaan proses strategik sebagai input bagi membuat keputusan masa depan. Kesemua sembilan tugasan kritikal yang dihuraikan menunjukkan bahawa pengurusan strategik melibatkan empat elemen asas pengurusan iaitu merancang, mengarah, mengelola dan mengawal. Strategi pula menjelaskan bagaimana organisasi memberi tumpuan kepada bagaimana, bila dan di mana tindakan-tindakan yang telah dikenal pasti perlu dilaksanakan.

Bryson (1995) pula mendefinisikan pengurusan strategik sebagai satu usaha yang berdisiplin untuk menghasilkan keputusan-keputusan dan tindakan-tindakan utama yang membentuk dan menentukan hala tuju organisasi dari segi fungsinya. Untuk menghasilkan hasil yang terbaik, pengurusan strategik memerlukan pengumpulan maklumat yang luas dan efektif serta pembangunan alternatif-alternatif strategik. Selain itu, penekanan kepada implikasi masa depan akibat keputusan yang dibuat pada masa sekarang juga harus diambilkira.

Philip M. Sherman (Strategic Planning For Technology Industries, 1982) mentakrifkan pengurusan strategik sebagai "A process whereby corporate (organizational) objectives for the future are identified in response to perceived opportunities and whereby activities are related and resources are allocated to meet these objectives." Pengurusan strategik juga ditafsirkan secara umum oleh pakar-pakar pengurusan sebagai, "A stream of decisions and action which leads to the development of an effective strategy or strategies to help achieve corporate objectives."

Fidler (1996) memberi definisi pengurusan strategik sebagai pembentukan dan pelaksanaan strategi sebagai tindakbalas kepada dan sebagai tindakan awal bagi peristiwa masa depan di dunia luar. Secara ringkasnya pengurusan strategik berkaitan dengan penentuan strategi dan merancang bagaimana melaksanakannya. Proses ini terdiri daripada menganalisis, membuat keputusan, pelaksanaan dan penilaian. Menurut Fidler, pengurusan sekolah perlu sensitif kepada persekitaran yang mempengaruhinya, yang bukan sahaja meliputi persekitaran fizikal tempatan dan sosial, malah meliputi kerangka undang-undang yang mempengaruhi institusi pendidikan serta tekanan politik, ekonomi, sosial dan teknologi (PEST). Sekolah bukan sahaja perlu menyesuaikan diri dengan keperluan undang-undang negara, tetapi juga perlu memberi respon kepada permintaan masyarakat setempat.

Berdasarkan beberapa definisi yang diberikan di atas, pengurusan strategik merupakan satu proses yang melibatkan pelaksanaan terancang keputusan dasar, hasil daripada analisis faktor dalaman dan luaran, untuk mencapai objektif organisasi yang telah ditetapkan. Pendekatan pengurusan ini juga dilihat sebagai proses mengurus yang memberi tumpuan kepada aspek jangka panjang dan memberi penekanan kepada operasi penggubalan, pelaksanaan dan penilaian strategi-strategi yang telah ditetapkan (Ayob, 2004). Dalam konteks sekolah, konsep ini merupakan alat yang berkesan untuk membantu pihak sekolah mentransformasi pengurusan sekolah mengikut visi/misi/matlamat yang telah ditetapkan untuk pelbagai tujuan sama ada mengubah budaya kerja guru dan kakitangan sekolah, menstruktur semula organisasi sekolah, meningkatkan prestasi akademik dan sebagainya. Dalam bukunya Strategic Management For School Development, Fidler (2002) menyenaraikan satu senarai semak sebagai garis panduan yang menunjukkan bahawa sesuatu perubahan itu dianggap strategik sekiranya perubahan itu;

  1. melibatkan keseluruhan skop aktiviti sekolah
  2. menunjukkan hala tuju jangka panjang sekolah
  3. melibatkan penyesuaian hala tuju dengan tekanan persekitaran
  4. melibatkan pelaksanaan aktiviti yang boleh bertahan dengan menggunakan sumber sekolah yang ada


     

2.2    Model-Model Pengurusan Strategik

Terdapat pelbagai model pengurusan strategik yang disarankan oleh penyelidik dan ahli akademik. Fidler (1996) memaparkan empat model, dari yang mudah kepada yang lebih kompleks. Antaranya ialah Model Asas Pengurusan Strategik yang terdiri daripada tiga keputusan mengurus dan tiga proses strategi. Satu lagi model ialah model Fidler dan Bowles yang menunjukkan sifat kitaran pengurusan strategik bermula dengan analisis dan diakhiri dengan proses penilaian dan kemudian melalui kitaran yang berikutnya seperti dalam Rajah

: Rajah 1:    Model Fidler dan Bowles tentang pengurusan strategik di sekolah

Fidler (2002) juga membuat formulasi model konseptual pengurusan strategik berdasarkan model yang dibangunkan oleh Johnson dan Scholes. Berdasarkan model tersebut, terdapat tiga peringkat konseptual pengurusan strategik iaitu:

  • Analisis strategik
  • Pilihan strategik
  • Pelaksanaan dan perubahan strategik

Setiap peringkat tersebut dibahagikan pula kepada tiga bahagian seperti dalam jadual berikut:

PERINGKAT PENGURUSAN STRATEGIK


 

BAHAGIAN SETIAP PERINGKAT

Analisis strategik

Pengauditan sumber dalaman

Meneliti persekitaran

Analisis budaya dan nilai

Pilihan Strategik

Menjana pilihan

Menilai pilihan

Membuat pilihan

Pelaksanaan dan perubahan strategik

Sistem dan struktur organisasi

Personel dan perubahan

Sumber

Jadual 1:     Peringkat Pengurusan Strategik Fidler


 


 


 


 


 


 


 

Berdasarkan model-model pengurusan strategik yang dijelaskanan di atas, pengoperasiannya telah diadaptasi seperti dalam rajah berikut:


 


 


 


 


 


 


 


 


 


 

2.3    Kepentingan Pengurusan Strategik

Mengapa organisasi perlu mengamalkan pengurusan strategik dalam pengurusannya? Berdasarkan kepada definisi dan konsep asas pengurusan strategik yang dibincangkan di atas, terdapat beberapa kelebihan yang boleh dinikmati apabila pengurusan strategik antaranya:

  1. Menggalakkan gaya berfikir dan tindakan yang strategik khususnya dalam menyelesaikan isu-isu strategik;
  2. Menjadi garis panduan kepada keputusan-keputusan yang diambil;
  3. Meningkatkan kualiti membuat keputusan. Hal ini berlaku kerana pengurusan strategik memberi tumpuan kepada isu-isu dan cabaran-cabaran utama yang dihadapi oleh organisasi dan membantu pengurus organisasi mencari cara-cara menghadapinya;
  4. Mengukuhkan tahap responsif organisasi terhadap perubahan persekitaran dan meningkatkan prestasi. Peluang dan ancaman yang tidak diduga dapat diurus melalui satu pelan berbanding secara ad hoc;
  5. Melicinkan penilaian hasil perubahan secara sistematik; dan
  6. Memberi faedah kepada seluruh ahli organisasi di mana pembuat polisi dan pembuat keputusan dapat melaksanakan peranan dan tanggungjawab mereka dan kerja berpasukan serta kepakaran di kalangan ahli organisasi dipertingkat.


 

2.4.    Proses Pengurusan Strategik

Pengurusan strategik merupakan rangka tindakan yang memberitahu dan menyelaraskan keputusan-keputusan tentang elemen pengurusan sekolah seperti pengurusan kurikulum, pejabat, kakitangan, fizikal dan keceriaan, pusat sumber, hal ehwal murid, asrama, serta kokurikulum dan perhubungan. Berdasarkan beberapa model dan beberapa contoh pengoperasian model yang dinyatakan di atas, dapat dirumuskan bahawa pengurusan strategik mengandungi proses-proses tertentu iaitu:

  • Menentu dan menjelaskan hala tuju organisasi (misi, visi dan objektif organisasi)
  • Membuat analisis persekitaran dalaman dan luaran
  • Menjana isu-isu strategik, matlamat, indikator dan objektif
  • Menjana strategi dan taktik
  • Pelaksanaan strategi
  • Penilaian dan maklumbalas prestasi
  • Penambahbaikan


 

2.5 Pengurusan Strategik Dan Kepuasan Kerja

Pengurusan stretegik mempunyai hubungan yang signifikan dengan kepuasan kerja guru. Ini dapat dibuktikan dengan kajian yang dibuat oleh Tang Keow Ngang (2007) yang berjudul "Pengurusan Kualiti Menyeluruh dan Prestasi Kerja". Dapatan kajian beliau menunjukkan dimensi perancangan strategik mencatatkan skor tertinggi dan menunjukkan mempunyai hubungan yang relaven terhadap kepuasan kerja.

Selain kajian yang dilakukan oleh pengkaji di atas, terdapat satu lagi kajian yang menyokong pernyataan bahawa pengurusan strategik mempunyai hubungan yang signifikan dengan kepuasan kerja. Kim (2002) menyatakan bahawa untuk mengekalkan akauntabiliti dan pencapaian di dalam sesebuah organisasi, strategi di dalam pengurusan sumber manusia adalah diperlukan. Kepuasan kerja adalah berkait rapat dengan pencapaian pekerja.(Kim, S. .(2002)."Participative management and job satisfaction": Lessons for management leadership," Public Administration Review (62:2), pp. 23-241.


 


 


 


 


 


 


 


 


 


 

3.0 IKLIM SEKOLAH

3.1 Definisi Iklim Sekolah

Iklim sekolah mencerminkan aspek fizikal dan psikologi sesebuah sekolah yang lebih berupaya untuk berubah dan dan menyediakan keadaan-keadaan penting untuk sesuatu proses pengajaran dan pembelajaran. Iklim sekolah, dengan lebih berfokusnya, merupakan bukti terhadap perasaan dan sikap yang dizahirkan oleh para pelajar, guru-guru, staf dan ibu bapa (cara bagaimana para pelajar dan staf menunjukkan perasaan apabila berada di sekolah setiap hari).Keadaan atau suasana sekolah yang tenang dan nyaman, sesuai untuk proses pengajaran dan pembelajaran dianggap sebagai mempunyai iklim sekolah yang berkesan.

Litwin dan Stringer (dalam Gunbayi, 2007:1) menyatakan bahawa iklim sekolah didefinisikan secara bervariasi oleh para ahli sebagai hasil dari persepsi subjektif terhadap sistem formal, gaya kepimpinan pengetua, dan faktor lingkungan lain yang mempengaruhi sikap, kepercayaan, nilai dan motivasi  individu yang berada pada sekolah tersebut. Namun demikian variasi definisi iklim sekolah apabila diteliti lebih dalam, menjurus kepada tiga pengertian. Pertama, iklim sekolah didefinisikan sebagai ciri-ciri suatu sekolah yang membezakannya dengan sekolah lainnya. Kedua iklim sekolah didefinisikan sebagai suasana di tempat kerja, mencakupi berbagai norma yang kompleks, nilai, harapan, kebijaksanaan dan prosedur yang mempengaruhi pola perilaku individu dan kelompok. Ketiga iklim sekolah didefinisikan sebagai persepsi individu terhadap kegiatan, amalan, dan prosedur serta persepsi tentang tingkahlaku yang dihargai, didukung dan diharapkan dalam suatu organisasi.

Iklim sekolah yang positif wujud apabila semua pelajar pelajar berasa selesa, diperlukan, berharga, diterima dan selamat di dalam sesuatu persekitaran di mana mereka boleh berinteraksi dan berkongsi dengan orang-orang yang dipercayai. Iklim sekolah yang positif mempengaruhi mereka yang berkaitan dengan sekolah termasuklah pelajar, guru, staf, ibu bapa dan komuniti setempat. Ianya merupakan suatu sistem kepercayaan yang menggambarkan aktiviti seharian sesebuah sekolah.

Halpin dan Croft (1963) yang merupakan perintis dalam kajian iklim sekolah mengatakan bahawa iklim sekolah menggambarkan personaliti seseorang individu sendiri dan bagaimana guru tersebut berusaha untuk mencapai tahap organisasi iklim sekolah berkenaan. Seterusnya, Howard (1974) mendefinisikan iklim sekolah sebagai keadaan sosial dan budaya sekolah itu yang mempengaruhi tingkah laku orang di dalamnya. Pusat Perkembangan Kurikulum (1981) mendefinisikan iklim sekolah sebagai suasana sekolah yang baik di mana keadaan persekitarannya dirasakan selesa, tenteram, mesra, riang dengan pembelajaran yang lancar. Memandangkan faktor iklim sekolah turut membantu mewujudkan sekolah yang berkesan, maka terdapat beberapa pengkaji yang telah mengetengahkan beberapa ciri iklim sekolah berkesan hasil daripada kajian yang mereka lakukan. Mengikut Halpin dan Croft (1963), iklim sekolah yang berkesan mempunyai ciri-ciri berikut:

  1. guru-guru merasa selamat, berpuas hati dan berkeyakinan,
  2. guru-guru tidak rasa tertekan dan mengambil perhatian tentang kemajuan murid-muridnya,
  3. pengetua merasa penuh yakin terhadap kerjanya, serta bertimbang rasa, dan
  4. pelajar merasa selamat dan belajar bersungguh-sungguh.

Merujuk kepada berbagai hasil penelitian, Marshall (2002:2) memberikan beberapa kesimpulan mengenai pentingnya iklim sekolah bagi berbagai pihak, sebagai berikut.

  1. Iklim sekolah dapat mempengaruhi banyak orang di sekolah. Misalnya, iklim sekolah yang positif telah dikaitkan dengan emosi dan tingkahlaku pelajar yang bermasalah.
  2. Iklim sekolah di kawasan bandar yang berisiko tinggi menunjukkan bahawa lingkungan yang positif, saling menyokong antara satu sama lain, dan budaya positif iklim sekolah mempunyai hubungan yang signifikan dalam membentuk kejayaan pelajar di kawasan bandar. Para peneliti juga mendapati bahawa iklim sekolah yang positif memberikan perlindungan kepada pelajar dengan lingkungan belajar yang mendukung serta mencegah tinghkah laku antisosial.
  3. Hubungan interpersonal yang positif dan peluang belajar yang optimum bagi pelajar di semua lingkunga demografik dapat meningkatkan prestasi dan mengurangi tingkah laku maladaptive.
  4. Iklim sekolah yang positif berkaitan dengan peningkatan kepuasan kerja bagi setiap individu yang berada di sekolah.
  5. Iklim sekolah dapat memainkan peran penting dalam menyediakan suasana sekolah yang sehat dan positif.
  6. Interaksi dari berbagai sekolah dan faktor iklim kelas dapat memberikan sokongan yang memungkinkan semua anggota komuniti sekolah untuk menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran secara optimum.
  7. Iklim sekolah, termasuk "kepercayaan, saling menghormati, saling melaksanakan tanggungjawab, dan tumpuan untuk kesejahteraan pelajar mempunyai pengaruh yang kuat terhadap pendidik dan pelajar serta prestasi akademik mereka.


 

3.2 Pembentukan budaya dan iklim sekolah

Budaya dan iklim sekolah boleh dibentuk dengan cara;

  1. Menghargai permuafakatan

    Semua guru mesti mengambil berat terhadap 'kesihatan' sekolah sebagai organisasi. Permuafakatan dapat menghindarkan keterasingan guru, sikap pentingkan diri sendiri sehingga tidak mahu mengakui wujudnya masalah atau tidak mahu melihat masalah orang lain. Dengan permuafakatan guru-guru bersama-sama menyelesaikan masalah dan membuat keputusan di samping menghargai kesaling-bergantungan dan bantu- membantu sesama staf.

    1. Mengamalkan nilai kesejawatanan

      Di dalam sesebuah organisasi manusia tidak bekerja seorang diri, apa pun tugas dan peranannya seseorang itu tetap perlukan orang lain membantunya atau terlibat sama. Kesejawatanan atau "collegiality" bermaksud satu budaya kerja yang ada kaitannya dengan perpaduan, kerjasama, bantu-membantu, hormat- menghormati, nasihat-menasihati atau tegur-menegur di antara ahli-ahli kumpulan atas dasar profesionalisme. Jadi pemimpin yang berkesan mestilah berkeupayaan mewujudkan suasana kesejawatanan ini di kalanngan guru-gurunya, mengekalkan suasana harmoni dan perpaduan sepanjang masa di samping mengelakkan dan mencegah unsur-unsur kronisme, nepotisme, favouritisme, rodongisme, pilih-kasih, berat sebelah, adu-domba, fitnah-memfitnah, hasad dengki, dan iri hati; di dalam interaksinya dengan staf dan kakitangan lain di sekolah


       

    2. Guru-guru berkeyakinan tinggi

      Guru-gurunya penuh yakin dalam tugasnya setiap hari, mereka lebih bersedia menerima cabaran-cabaran, mengambil risiko, dan melahirkan idea-idea kreatif serta rumusan-rumusan. Ekoran daripada keyakinan ini akan wujud optimisme dan iltizam.Tempat kerja menjadi lebih menyeronokkan sementara guru-guru mendapat penyempurnaan dan kepuasan profesionalisme daripada kerja-kerja mereka menerusi kawalan kepada penyelesaian masalah dan membuat keputusan, sokongan dari rakan sejawat dan bertambahnya peluang-peluang belajar dengan berkongsi pengetahuan dan pengalaman serta kepakaran.

    3. Ada komitmen yang tinggi

      Komitmen adalah satu sikap diri yang ditunjukkan dalam segala tingkah-laku dan cara berfikir seseorang dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya. Komitmen yang tinggi terhadap kelangsungan organisasi dan kebajikan murid umpamanya dapat dilihat daripada perilaku guru-gurunya yang datang awal, mengajar dengan semangat, tidak curi tulang, tumpuan kepada kerja dan mutu kerja, menepati masa dan paling utama meletakkan kepentingan organisasi mengatasi kepentingan peribadi. Orang- orang yang berkomitmen yang tinggi juga sentiasa dapat mematuhi dan menepati norma-norma organisasi atau masyarakat sama ada norma-norma yang tersurat atau pun yang tersirat.


 


 


 


 

3.3 Kepentingan iklim sekolah yang positif

Terdapat banyak kajian dijalankan menunjukkan bahawa iklim sekolah yang positif dapat memberi kesan terhadap pencapaian akademik pelajar dan kejayaan sesebuah organisasi sekolah. Perhubungan antara iklim sekolah dengan para pelajar ini dapat menyumbang secara tidak langsung terhadap kepuasan kerja guru-guru dalam menjalankan tanggungjawab mereka terhadap proses pengajaran dan pembelajaran (P&P)

Abdul Rahman an-Nahlawi (1995) pula menyatakan iklim sekolah yang berkesan mampu mewujudkan integrasi dan keharmonian sesama pelajarnya yang berbeza status sosio-ekonomi mereka (SES). Selain itu, sekolah juga mampu mengurangkan perbezaan-perbezaan sesama mereka. Pihak sekolah juga boleh mewujudkan kerjasama dengan keluarga pelajar. Hubungan yang mesra di antara sekolah dan keluarga akan membentuk pendidikan yang lebih sempurna bagi pelajar-pelajarnya. Justeru itu, kepuasan kerja akan wujud apabila wujudnya keharmonian sesama pelajar dan guru.

Mengikut pandangan Rosnani (1998), pihak pengurusan sekolah hendaklah berusaha mewujudkan budaya sekolah yang menghidupkan nilai-nilai akidah dan berakhlak supaya murid-murid merasa selamat, sentiasa ingin berbakti dan berusaha untuk maju dalam pelajaran berdasarkan dorongan yang lebih tinggi, iaitu mencari keredhaan Allah S.W.T. dan bukan sekadar untuk menggembirakan warga sekolah, ibu bapa dan guru. Sebahagian daripada budaya ini adalah bersifat muraqabah, iaitu merasa Allah sentiasa memerhatikan perbuatan mereka untuk dipertanggungjawabkan. Sesungguhnya, jika setiap warga sekolah daripada pengetua, guru, kakitangan sokongan sehingga kepada pelajar-pelajar menghayati nilai-nilai akhlak ini, pasti sekolah berkesan dari sudut disiplin akan wujud dan kurang keperluan kepada pengawasan. Bagaimanapun, melihat realiti insan yang mempunyai nafsu, memang masih perlu juga pengurusan sekolah memantau kegiatan dan perilaku murid-murid, khususnya akhlak mereka yang perlu sentiasa dinasihati dan dibimbing.

Para pendidik dan pengkaji telah mengenalpasti bahawa terdapat suatu set unsur-unsur yang kompleks yang membina suatu iklim sesebuah sekolah. Di dalam satu kajian yang dijalankan oleh ahli pendidik menyarankan 10 dimensi yang mewarnakan dan membentuk pengalaman subjektif di sekolah iaitu: Persekitaran, penstrukturan, keselamatan, pengajaran dan pembelajaran, perhubungan, kepekaan komuniti sekolah, nilai-nilai moral, norma rakan sebaya, kerjasama sekolah dan rumah. (Cohen,2006; Freiberg,1999).

Di dalam kajian yang telah dijalankan selama lebih dua dekat yang lalu,terdapat bukti yang menunjukkan bahawa iklim sekolah yang positif telah memberikan impak besar terhadap
pengalaman individu. Dua aspek terhadap iklim sekolah, iaitu komitmen terhadap sekolah dan maklum balas daripada guru telah menunjukkan kesan terhadap keyakinan diri (self-esteem) pelajar (Hoge, et. Al, 1990). Kajian juga telah mendedahkan terdapat perkaitan antara iklim sekolah dan konsep kendiri (self concept) pelajar (Cairns, 1987; Heal, 1978; Reynolds, et al.1980; Rutter, et al, 1979).

Juga, terdapat satu siri kajian yang telah menunjukkan perkaitan antara iklim sekolah dan tahap ponteng pelajar (deJung & Duckworth, 1986; Purkey & Smith, 1983; Reid, 1983; Rumberger, 1987; Sommmer, 1985) serta kajian yang dijalankan terhadap iklim sekolah dan perhubungannya dengan kebergantungan pelajar terhadap sekolah (Wu, Pink, Crain, & Moles, 1982).

Kajian yang telah dijalankan oleh suatu badan telah menunjukkan bahawa iklim sekolah yang positif merupakan suatu dimensi kritikal yang berkait dengan risiko pencegahan yang berkesan dan usaha peningkatan kesihatan di dalam pengajaran dan pembelajaran (Cohen, 2001; Najaka, et. Al., 2002; Rand Corporation, 2004; Wang, et. al., 1993). Ulasan kajian terkini menunjukkan bahawa pencegahan risiko yang berkesan dan usaha peningkatan tahap kesihatan berkaitan dengan iklim sekolah yang selamat, mengambil berat, partisipatif dan responsif (Berkowitz & Bier, 2005; Catalano, et. al. 2002; Greenberg, et. al. 2003).

Keadaan iklim sekolah yang selamat, saling mengambil berat, penyertaan menyeluruh dari semua pihak dan bertindak balas terhadap sebarang perkara cenderung untuk memperkembangkan lagi fungsi sekolah sebagai asas kepada aktiviti sosial, emosi pembelajaran akademik (Blum, et. al., 2002; Osterman, 2000). Satu daripada asas penting dimensi iklim sekolah kerasionalan dan bagaimana 'perhubungan' antara ahli-ahli di dalam sesebuah sekolah. Satu kajian yang telah dijalankan oleh suatu badan tertentu mencadangkan bahawa perhubungan yang wujud ini adalah suatu penyumbang terhadap kesihatan remaja dan pencapaian akademik yang baik (McNeely, et. al., 2002; Whitlock, 2006); dan pencegahan keganasan (Karcher, 2002a, 2002b); serta faktor pelindung di dalam tingkah laku berisiko secara seksual, keganasan dan penggunaan dadah (Catalano, et. al, 2004; Kirby, 2001).

Iklim sekolah juga telah menggalakkan pembelajaran bermakna kepada para pelajar. Sebagai contohnya, kegiatan khidmat masyarakat seperti debat dapat meningkatkan persekitaran belajar mereka serta memberikan peluang untuk terlibat secara aktif dalam proses belajar dan membina pengetahuan mereka sendiri dari sistem sosial yang ada (Torney-Purta, 2002; Youniss et al., 2002). Lebih-lebih lagi apabila aktiviti seperti itu dijalankan di persekitaran yang saling menyokong dan bekerjasama, akan menggalakkan pelajar untuk membina idea antara satu sama lain terhadap sesuatu projek (Wentzel & Watkins, 2002). Bersama-sama, pengalaman ini secara realistiknya menggambarkan situasi sosial yang bakal mereka lalui di dalam masyarakat kelak (Bandura, 2001, Torney-Purta et al., 2001).

Iklim sekolah positif menggalakkan pembelajaran secara kooperatif, kerjasama di dalam kumpulan, hormat-menghormati dan saling percaya atau suasana untuk belajar (Ghaith, 2003, Kerr, 2004; Finnan, et. al, 2003). Tambahan pula, satu siri kajian telah menunjukkan bahawa iklim sekolah secara langsung berkaitan dengan pencapaian akademik (Brookover, et. al, 1977; Brookover, 1978; Brookover & Lezotte, 1979; Edmonds, 1979; Freiberg, 1999; Good & Weinstein, 1986; Gottfredson & Gottfredson, 1989; Griffith, 1995; Madaus, Airasian, & Kellaghan, 1980; Rutter, 1983; Rutter, et al 1979; Shipman, 1981).

Dziauddin (1999) pula mengatakan suasana persekitaran pendidikan yang menekankan kepada perkembangan akal dan fizikal serta pemurnian dan pemantapan rohani serta iman sebagai satu pakej yang mantap. Oleh itu, persekitaran sekolah yang selesa daripada aspek rohani, emosi dan kemasyarakatan sebegini boleh mengukuhkan aqidah dan akhlak keislaman yang berasaskan ilmu yang benar, amanah, ikhlas dan menghormati masalah umum, bekerjasama dan ketaatan tanpa melibatkan derhaka kepada perintah Allah. Suasana kerja seperti ini akan membina semangat kerja yang kuat ke arah mempertingkatkan motivasi.

Menurut Mahi Din (1998:2), dengan timbulnya suasana yang harmonis dalam hubungan manusia dengan Allah dan hubungan manusia sesama manusia berasaskan ajaran tauhid, manusia akan dapat memahami hakikat budaya ilmu dengan baik dan dapat mengekalkan identiti dan fungsi yang sebenar, iaitu ilmu sebagai alat yang boleh membawa kepada kebenaran. Justeru, iklim dini di sekolah merupakan sebahagian daripada usaha pendidikan bersepadu meliputi tiga dimensi utama insan, iaitu rohani, intelek dan jasmani bagi membolehkan para pelajar dan guru mengamal dan menghayati ajaran Islam dalam semua aktiviti di sekolah dan juga meningkatkan motivasi warga sekolah.

Kebanyakan kajian yang dijalankan tentang iklim sekolah menunjukkan iklim sekolah akan mewujudkan suasana pembelajaran yang bermotivasi dan seterusnya membantu pelajar memperoleh pencapaian yang lebih baik dan guru-guru lebih puas untuk bekerja. Ibrahim (1993:78) menegaskan bahawa iklim yang positif sangat perlu wujud di sesebuah sekolah. Banyak kajian yang dibuat menunjukkan bahawa terdapat hubung kait yang rapat antara iklim sekolah dengan kejayaan murid. Sekiranya iklim baik, guru dan murid akan lebih bermotivasi dan pada masa yang sama aktiviti pengajaran dan pembelajaran akan berjalan dengan baik.


 

3.4 Iklim Sekolah Dan Kepuasan Kerja Guru.

    Di Malaysia, perkembangan dan kemajuan dalam sistem pendidikan menjadi tunjang utama untuk membangunkan negara. Menurut Najib (2004) sistem pendidikan di Malaysia adalah pada tahap pembangunan yang berubah mengikut keperluan semasa. Oleh itu bagi memastikan kemajuan negara, keberkesanan sistem pendidikan perlu dititikberatkan dan kejayaan dalam sistem pendidikan negara pula adalah amat bergantung kepada organisasi sistem pendidikan itu sendiri. Antara organisasi penting yang bertujuan untuk memastikan kemajuan dalam bidang pendidikan ialah organisasi sekolah.

    Peranan sekolah sebagai sebuah organisasi pendidikan adalah berbeza daripada kebanyakan organisasi-organisasi yang biasa. Perkhidmatan pendidikan lebih kepada menyebarkan ilmu pengetahuan dan cenderung menolong insan untuk mendapatkan ilmu pengetahuan manakala perniagaan biasa lebih kepada membuat keuntungan kepada organisasi masing-masing (Hazman Fitri, 2000).

Antara faktor yang mempengaruhi keberkesanan organisasi pendidikan ialah suasana atau iklim organisasi sekolah. Menurut Lussier (1993) iklim organisasi adalah merupakan kualti persekitaran sesebuah organisasi yang mana kualiti ini secara relatifnya kekal. Iklim organisasi ini dibentuk melalui persepsi pekerja di dalam organisasi dan menjadi asas kepada pembentukan sikap seseorang pekerja terhadap organisasinya. Oleh itu iklim organisasi dilihat mempengaruhi tingkah laku pekerja terhadap organisasi itu sendiri. Selain itu kualiti yang ada pada pekerja dalam organisasi sekolah juga mempengaruhi pencapaian dan kemajuan sekolah. Kualiti ini termasuklah dari segi sikap dan sifat guru-guru yang bekerja melebihi tanggungjawab formal mereka dan sanggup meluangkan masa serta tenaga untuk kejayaan organisasi iaitu sekolah tempat mereka bekerja.

Ostroff (1993) telah membuat kajian ke atas kesan iklim organisasi dengan orientasi peribadi iaitu prestasi kerja 532 orang guru di Amerika Syarikat. Kajian ini dibuat di Iilinois, Massachussets, Virginia dan Washington. Hasil kajiannya menunjukkan bahawa ada hubungan signifikan antara iklim organisasi dengan prestasi kerja walaupun pada tahap rendah.

Toulson dan Smith (1994) dalam "The Realtionship Between Organizational Climate and Employee Perceptions of Personnel Management Practices" telah mengkaji perhubungan antara ukuran tiga amalan pengurusan personel (sebagai pembolehubah bebas) dengan ukuran iklim organisasi sebagai pembolehubah bersandar). Mereka menggunakan The Litwin and Stringer Organizational Climate Questionnaire (LSOCQ) Seramai 2111 responden dalam 40 buah organisasi telah dipilih. Kajian mendapati bahawa tiada perhubungan signifikan antara amalan personel dengan iklim organisasi.

Bagi para guru, manfaat iklim sekolah yang positif meliputi peningkatan kepuasan kerja (Ma & MacMillan, 1999), meningkatkan kekekalan (job retention) guru dan kehadiran ke sekolah serta perhubungan yang baik antara sekolah dan rumah (Brown & Medway, 2007; DiStefano, Monrad, May, McGuiness, & Dickenson, 2007).

Iklim organisasi merupakan aspek penting di dalam suatu organisasi pembelajaran kerana ia akan mempengaruhi keperibadian dan tingkah laku seseorang. Ini kerana dalam melaksanakan tugas sekolahnya seorang pelajar akan sentiasa berinteraksi dengan persekitaran pembelajarannya termasuklah dengan guru-guru dan rakan-rakan. Seperti dikemukakan Howard (Komariah dan Triatna, 2006) iklim organisasi sebagai keadaan sosial dan budaya sekolah yang mempengaruhi tingkah laku orang di dalamnya. Iklim sekolah sebagai suasana sekolah yang baik di mana keadaan sekitar dirasakan tenteram, mesra, riang dengan pembelajaran yang lancar selain memberi impak positif terhadap pencapaian pencapaian akademik pelajar.

Gibson, dkk. (1990) berpendapat bahawa istilah iklim organisasi digunakan untuk menggambarkan iklim secara psikologi atau personaliti organisasi. Iklim organisasi dapat mempengaruhi ahli-ahlinya dan menjadi penggerak kepada perkembangan sesebuah organisasi. Oleh itu, iklim organisasi merupakan suatu konsep yang penting bagi pemimpin dalam menggerakkan kepimpinan mereka bagi mengekalkan komitmen setiap guru. Apabila tahap komitmen yang ditunjukkan oleh guru-guru adalah tinggi, kepuasan kerja akan wujud sesama mereka.

Anoraga (1992) mengemukakan bahawa iklim organisasi merupakan salah satu faktor yang memberikan hasil dalam melaksanakan sesuatu pekerjaan, tetapi juga penyebab sesuatu kegagalan dalam pelaksanaan suatu pekerjaan. Iklim organisasi yang tidak kondusif akan menimbulkan ketidakpuasan dalam bekerja yang dapat menyebabkan individu atau anggota melakukan tindakan yang dapat merugikan organisasi. Ini menunjukkan bahawa, jika iklim menjadi penyebab kejayaan dan kegagalan sesebuah sekolah. Jika iklim sekolah itu dibina dengan baik dan sangat kondusif, kepuasan kerja akan wujud di kalangan guru yang seterusnya menghasilkan mutu kerja yang berkualiti.


 

4.0 KESIMPULAN

Berdasarkan perbincangan-perbincangan yang dinyatakan di atas, jelaslah menunjukkan bahawa pengurusan strategik mempunyai hubungan yang signifikan dengan kepuasan kerja guru. Jika sesebuah organisasi itu mengamalkan amalan pengursan secara strategik, kepuasan kerja akan wujud di kalangan guru dan seterusnya dapat mewujudkan suasana yang positif terhadap hubungan pentadbir dan guru-guru.

Aspek kedua, iaitu iklim sekolah yang positif juga mempunyai hubungan yang signifikan dengan kepuasan kerja guru. Semakin baik iklim sesebuah sekolah itu, semakin meningkat tahap kepuasan kerja guru. Perhubungan antara pengurusan strategik dan iklim sekolah yang positif terhadap kepuasan kerja guru telah dapat dibuktikan dengan penemuan-penemuan beberapa kajian yang mengkaji bidang-bidang yang berkenaan.


 


 


 


 


 


 


 

RUJUKAN


 

Abdur Rahman an-Nahlawi. (1995). Pendidikan islam di rumah, sekolah dan masyarakat.

Jakarta: Penerbit Gema Insani.


 

Dziauddin Abdul Rahman. (1999). Menjana dan memperkasakan pendidikan sekolah

agama ke arah kecemerlangan. Kertas kerja Persidangan Kebangsaan Pendidikan

Sekolah-sekolah Agama. Anjuran Universiti Sains Malaysia.


 

Ghaith, G. (2003). The relationship between forms of instruction, achievement and

perceptions of classroom climate. Educational Researcher, 45 (1), 83-93.


 

Halpin, A. W., & Croft, D. B. (1963). The organizational climate of schools. Chicago: Midwest. Administration Center of the University of Chicago.


 

Hoge, D.R., Smit, E.K., & Hanson, S.L. ((1990). School experiences predicting changes in

self-esteem of sixth and seventh-grade students. Journal of Educational Psychology, 82, 117-127.


 

Jim and Patty Ro u s e (1982), Effective strategic planning, The Enterprise Foundation 45 (1), 83-93.


 

Karcher, M.J. (2002b). The cycle of violence and disconnection among rural middle school

students: Teacher disconnectedness as a consequence of violence.
Journal of School Violence, 1 (1), 35-51.

Kirby, D. (2001). Understanding what works and what doesn't in reducing adolescent risk-

taking. Family Planning Perspectives, 33 (6), 276-281.


 

Kementerian Pendidikan Malaysia. 1981. Kurikulum baru sekolah rendah: Matlamat,

rasional, bidang pelajaran dan strategi pengajaran dan pembelajaran. Kuala

Lumpur: Pusat Perkembangan Kurikulum.


 

Mahi Din Sari. 1998. Iklim dini di sekolah.
Jurnal Dakwah 1 (1) : 33-47.


 

McNeely, C.A., Nonnemaker, J.M., & Blum, R.W. (2002). Promoting student connectedness

to school: Evidence from the National Longitudinal Study of Adolescent Health. Journal of School Health, 72,138-146.


 

Rosnani Hashim. 1998. Pengurusan pendidikan untuk sekolah daripada perspektif Islam.

Prosiding Seminar Pendidikan Guru Untuk Sekolah Berkesan 62-63.


 

Perry, A. (1908). The management of a city school. New York: Macmillan.


 

Torney-Purta, J. (2002). The school's role in developing civic engagement: a study of

adolescents in twenty-eight countries.
Applied Developmental Science, 6(4), 203-212.


 


 


 

http://www.koranpagi.net/berita/perancangan-strategik-dan-pengurusan-kualiti-dalam-pendidikan( hak bustaman)


 

http://www.iab.edu.my/KertasKerjaSN15/ROSLI_SAMOT.pdf


 

http://www.scribd.com/doc/4653311/PENGURUSAN-STRATEGIK-untuk-sektor-pendidikan-awam.


 


 


 


 


 


 


 



 

Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

KERTAS KERJA PROGRAM LAWATAN SAMBIL BELAJAR

PROGRAM LAWATAN SAMBIL BELAJAR PELAJAR-PELAJAR PERSATUAN SAINS SMK SULTAN YAHYA PETRA 1 KE IPOH DAN TAIPING PADA 7-9 APRIL 2011   PENDAHULUAN Lawatan sambil belajar pelajar-pelajar Persatuan Sains SMK Sultan Yahya Petra 1, Kelantan ke Ipoh dan Taiping, Perak terdiri daripada 30 orang pelajar dan 3 orang guru sains. Matlamat Persatuan Sains ini diperkenalkan di SMK Sultan Yahya Petra 1 adalah untuk melahirkan pelajar-pelajar yang mempunyai minat yang tinggi di dalam bidang sains, seterusnya dapat memberikan pendedahan tentang kerjaya di dalam bidang sains dan teknologi.   Dalam usaha mencapai matlamat ini, Persatuan Sains mengambil inisiatif untuk mengadakan lawatan sambil belajar ke beberapa tempat yang menarik dan sesuai dengan bidang sains dan teknologi. Oleh yang demikian, Institut Penyelidikan Veterinar, Jabatan Geosains dan Mineral serta Bukit Merah Resort menjadi destinasi pilihan kerana terdapat pelbagai contoh yang boleh memberikan pengetahuan serta pengalaman baru dalam bidan

KEPENTINGAN IKLIM SEKOLAH YANG POSITIF

Definisi iklim sekolah yang positif Ciri-ciri sekolah seperti struktur fizikal bangunan dan interaksi antara pelajar dan guru-guru merupakan dua faktor besar yang mempengaruhi dan membantu dalam member takrifan terhadap konsep iklim sekolah yang sangat luas ini. Iklim sekolah telah dikaji oleh para pengkaji beberapa tahun yang lalu dan masih lagi berterusan untuk dikenalpasti dan diperhalusi lagi sebagai satu keputusan yang signifikan yang mempengaruhi hasil-hasil dalam bidang pendidikan. Halpin dan Croft (1963) yang merupakan perintis dalam kajian iklim sekolah mengatakan bahawa iklim sekolah menggambarkan personaliti seseorang individu sendiri dan bagaimana guru tersebut berusaha untuk mencapai tahap organisasi iklim sekolah berkenaan. Seterusnya, Howard (1974) mendefinisikan iklim sekolah sebagai keadaan sosial dan budaya sekolah itu yang mempengaruhi tingkah laku orang di dalamnya. Pusat Perkembangan Kurikulum (1981) mendefinisikan iklim sekolah sebagai suasana sekolah yan