Skip to main content

ARTICLE REVIEW FOR QUALITY IN EDUCATION

Tajuk Jurnal:

TAHAP KOMPETENSI JEMAAH NAZIR SEKOLAH DAN HUBUNGANNYA DENGAN KEMAHIRAN MENILAI KUALITI PENGURUSAN SEKOLAH

    Kajian ini telah dijalankan oleh Mohd Idrus Kadir, Mohammed Sani Ibrahim dan Jamil Ahmad. Ia diperolehi menerusi sumber Prosiding Seminar Penyelidikan Siswazah 187. Kajian ini dijalankan oleh pengkaji bagi menentukan tahap kompetensi Jemaah Nazir Sekolah (JNS) dan hubungannya dengan kemahiran menilai kualiti pengurusan sekolah.     Pernyataan masalah dinyatakan dengan jelas. Persoalan yang dikemukakan adalah mengenai perhubungan antara tahap kompetensi Nazir Sekolah (NS) dengan aspek mengendali penaziran, aspek pengurusan sekolah, aspek jantina dan pengalaman, aspek kemahiran dan keyakinan peribadi serta mencari pemboleh ubah yang menyumbang kepada kemahiran dan keyakinan NS.    

    Secara teori, kajian ini mempunyai rasional secara teori kerana pengkaji telah memfokuskan kepada kepentingan kompetensi oleh Nazir Sekolah untuk menilai kualiti pengurusan terhadap sesebuah sekolah supaya tidak menimbulkan sebarang persoalan dan rungutan. Tahap kompetensi juga mempunyai hubungan signifikan dalam konsep Pengurusan Kualiti Menyeluruh (TQM). Pelbagai perubahan dinamik yang berlaku di sekolah menuntut setiap anggota Jemaah Nazir Dan Jaminan Kualiti (JNJK) mempunyai tahap kompetensi yang amat tinggi dalam menjalankan tugas penaziran di institusi pendidikan.

    Kajian yang dijalankan ini adalah mempunyai kepentingan terhadap pengurusan kualiti pihak Nazir Sekolah (NS) dalam memastikan setiap ahli-ahlinya mempunyai tahap kompetensi yang tinggi dalam menilai kualiti pengurusan sekolah dari aspek pengurusan kepimpinan organisasi, pengurusan kurikulum, pengurusan kokurikulum dan pengurusan HEM.

    Daripada pembacaan yang dibuat, tiada kajian literatur yang dinyatakan oleh pengkaji dalam kajian ini. Pengkaji hanya mencatatkan mengenai pengenalan terhadap Jemaah Nazir Sekolah (JNS) yang kini dikenali sebagai Jemaah Nazir Sekolah dan Jaminan Kualiti (JNJK). Pengkaji juga menyatakan tentang skop-skop penaziran yang menjadi asas kepada pembentukan persoalan-persoalan kajian.

    Hipotesis dinyatakan dengan jelas oleh pengkaji berdasarkan setiap permasalahan yang diutarakan di dalam kajian ini. Antara hipotesis yang dikemukakan adalah seperti berikut:

  • HO1 Tidak terdapat perbezaan yang signifikan kemahiran NS menilai kualiti pengurusan sekolah dalam aspek pengurusan kepimpinan organisasi, pengurusan kurikulum, pengurusan kokurikulum dan pengurusan HEM berdasarkan jantina.
  • HO2 Tidak terdapat perbezaan yang signifikan kemahiran NS menilai kualiti pengurusan sekolah dalam aspek pengurusan kepimpinan organisasi, pengurusan kurikulum, pengurusan kokurikulum dan pengurusan HEM berdasarkan pengalaman penaziran.
  • HO3 Tidak terdapat kesan interaksi yang signifikan antara jantina dengan pengalaman penaziran terhadap kemahiran menilai kualiti pengurusan sekolah dalam aspek pengurusan kepimpinan organisasi, pengurusan kurikulum, pengurusan kokurikulum dan pengurusan HEM dalam kalangan NS.
  • HO4 Tidak terdapat perbezaan yang signifikan tahap kemahiran NS menilai kualiti pengurusan sekolah dalam aspek pengurusan kepimpinan organisasi, pengurusan kurikulum, pengurusan kokurikulum dan pengurusan HEM berdasarkan kemahiran peribadi.
  • HO5 Tidak terdapat perbezaan yang signifikan tahap kemahiran NS menilai kualiti pengurusan sekolah dalam aspek pengurusan kepimpinan organisasi, pengurusan kurikulum, pengurusan kokurikulum dan pengurusan HEM berdasarkan keyakinan peribadi.
  • HO6 Tidak terdapat kesan interaksi yang signifikan antara tahap kemahiran peribadi dengan tahap keyakinan peribadi terhadap kemahiran menilai pengurusan sekolah dalam aspek pengurusan kepimpinan organisasi, pengurusan kurikulum, pengurusan kokurikulum dan pengurusan HEM dalam kalangan NS.
  • HO7 Tidak terdapat korelasi yang signifikan antara aspek kemahiran dan keyakinan mengendali penaziran, membuat pertimbangan, memberi khidmat profesional, komunikasi interpersonal, dan mengurus diri dengan tahap kemahiran menilai kualiti pengurusan sekolah dalam kalangan NS.
  • HO8 Tidak terdapat korelasi yang signifikan antara aspek keyakinan kompetensi peribadi dengan tahap kemahiran menilai kualiti pengurusan sekolah dalam kalangan NS.
  • HO9 Tidak terdapat sumbangan yang signifikan antara kemahiran dan keyakinan peribadi NS iaitu mengendali penaziran, membuat pertimbangan, memberi khidmat profesional, komunikasi interpersonal, dan mengurus diri dengan tahap kemahiran menilai kualiti pengurusan sekolah dalam kalangan NS.


     

    Definisi secara operasi tidak dinyatakan di dalam kajian ini. Pengkaji cuba mengukur tahap kompetensi melalui persoalan-persoalan seperti yang dinyatakan di atas. Pengukuran dapat dibuat dengan analisis secara statistik terhadap kesemua hipotesis sama ada signifikan atau tidak.

    Pengkaji telah menggunakan kaedah yang bersesuaian dan telah dapat menjawab persoalan yang dikemukakan. Kajian ini berbentuk tinjauan yang menggunakan pendekatan kuantitatif dan pensampelan. Borang soal selidik digunakan sebagai instrumen kajian. Kaedah yang digunakan adalah bersesuaian dengan matlamat kajian untuk memperoleh nilai secara statistik terhadap persoalan kajian dan menguji hipotesis sama ada mempunyai hubungan yang signifikan atau tidak.

    Kaedah pensampelan dijalankan oleh pengkaji di dalam kajian ini.
Sampel kajian ini terdiri daripada 164 orang nazir sekolah dari semua pejabat Jemaah Nazir Sekolah dan Jaminan Kualiti (JNJK) seluruh negara. Jumlah nazir sekolah yang terlibat sebagai sampel ialah sebanyak 115 lelaki (70.1%) dan 49 perempuan (29.9%). Pengkaji menggunakan saranan Krejcie dan Morgan (1970) dalam menentukan saiz sampelnya. Pensampelan Rawak Berstrata digunakan dalam kajian ini kerana terdapat ciri-ciri yang tidak seimbang dalam populasi khususnya keseimbangan jantina. Dengan cara ini setiap ahli di dalam populasi mempunyai peluang yang sama terpilih menjadi sampel dan setiap jantina dapat diwakili. Selain itu, teknik ini digunakan untuk memastikan setiap pejabat cawangan JNJK mempunyai wakil yang mencukupi untuk dibuat kajian di samping dapat mengawal kesahan dalaman sampel.

    Didapati tiada ralat sumber yang nyata dilakukan oleh pengkaji di dalam kajian beliau. Sedikit ralat mungkin akan berlaku daripada maklum balas responden terhadap soal selidik yang dilakukan. Responden mungkin memberikan jawapan yang tidak tepat di dalam borang soal selidik yang diedarkan. Ini telah dikawal oleh pengkaji dengan mengedarkan jumlah soal selidik dalam bilangan yang banyak iaitu sebanyak 164.

    Kaedah secara statistik digunakan di dalam kajian ini. Penganalisisan data dibuat menggunakan program SPSS versi 16. Seterusnya, statistik deskriptif seperti peratusan, min dan sisihan lazim digunakan bagi menjawab persoalan kajian. Statistik inferensi juga digunakan bagi menguji hipotesis kajian iaitu ujian korelasi, ANOVA, MANOVA dan Regresi Berganda. Kaedah yang digunakan adalah bersesuaian dengan matlamat kajian untuk memperoleh nilai secara statistik terhadap persoalan kajian dan menguji hipotesis sama ada mempunyai hubungan yang signifikan atau tidak.

    Keputusan kajian dipersembahkan dengan jelas berdasarkan analisa yang dilakukan. Keputusan kajian dihuraikan secara terperinci kepada dua bahagian iaitu Rumusan Analisis Faktor Demografi dan Rumusan Analisis Objektif Kajian. Daripada Rumusan Analisis Faktor Demografi, pengkaji mendapati NS masih memerlukan kursus penulisan laporan bagi sesuatu pemeriksaan sekolah sungguhpun NS terdiri daripada profil yang pelbagai serta amat berpengalaman. Manakala daripada Rumusan Analisis Objektif Kajian,
terdapat dua pembolehubah kompetensi NS didapati menyumbang kepada kemahiran NS menilai kualiti pengurusan sekolah iaitu pemboleh ubah memberi khidmat profesional dan mengurus diri

    Terdapat kekangan yang dihadapi oleh pengkaji dalam menjalankan kajian ini. Pengkaji mendapati bilangan yang tidak seimbang dalam populasi nazir sekolah (NS) dari segi jantina. Bagi mengatasi keadaan ini, pengkaji menggunakan Teknik Pensampelan Rawak Berstrata.    

    Kesimpulan kajian dinyatakan dengan jelas. Ini disokong dengan persembahan data-data yang dianalisis secara statistik iaitu statistik deskriptif dan statistik inferensi. Sebagai rumusan umum, keputusan kajian ini menyimpulkan bahawa faktor kemahiran memberi khidmat profesional dan kemahiran mengurus diri adalah penyumbang utama NS menaziri kualiti pengurusan sekolah. Selain itu faktor-faktor lain seperti pengalaman dan tahap keyakinan juga mempengaruhi kompetensi NS dalam menilai sesebuah sekolah.

    

Comments

  1. Assalamualaikum & dalam sejahtera,
    Terima kasih atas perkongsian yang bermanfaat ini. Boleh saya tanya, bagaimana untuk dapatkan teks penuh artikel ini kerana tidak banyak literatur yang ditemui berkaitan aspek ini. Saya perlukannya untuk artikel saya.
    Terima kasih & barakallahu fik.

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

KERTAS KERJA PROGRAM LAWATAN SAMBIL BELAJAR

PROGRAM LAWATAN SAMBIL BELAJAR PELAJAR-PELAJAR PERSATUAN SAINS SMK SULTAN YAHYA PETRA 1 KE IPOH DAN TAIPING PADA 7-9 APRIL 2011   PENDAHULUAN Lawatan sambil belajar pelajar-pelajar Persatuan Sains SMK Sultan Yahya Petra 1, Kelantan ke Ipoh dan Taiping, Perak terdiri daripada 30 orang pelajar dan 3 orang guru sains. Matlamat Persatuan Sains ini diperkenalkan di SMK Sultan Yahya Petra 1 adalah untuk melahirkan pelajar-pelajar yang mempunyai minat yang tinggi di dalam bidang sains, seterusnya dapat memberikan pendedahan tentang kerjaya di dalam bidang sains dan teknologi.   Dalam usaha mencapai matlamat ini, Persatuan Sains mengambil inisiatif untuk mengadakan lawatan sambil belajar ke beberapa tempat yang menarik dan sesuai dengan bidang sains dan teknologi. Oleh yang demikian, Institut Penyelidikan Veterinar, Jabatan Geosains dan Mineral serta Bukit Merah Resort menjadi destinasi pilihan kerana terdapat pelbagai contoh yang boleh memberikan pengetahuan serta pengalaman baru dalam bidan

KEPENTINGAN IKLIM SEKOLAH YANG POSITIF

Definisi iklim sekolah yang positif Ciri-ciri sekolah seperti struktur fizikal bangunan dan interaksi antara pelajar dan guru-guru merupakan dua faktor besar yang mempengaruhi dan membantu dalam member takrifan terhadap konsep iklim sekolah yang sangat luas ini. Iklim sekolah telah dikaji oleh para pengkaji beberapa tahun yang lalu dan masih lagi berterusan untuk dikenalpasti dan diperhalusi lagi sebagai satu keputusan yang signifikan yang mempengaruhi hasil-hasil dalam bidang pendidikan. Halpin dan Croft (1963) yang merupakan perintis dalam kajian iklim sekolah mengatakan bahawa iklim sekolah menggambarkan personaliti seseorang individu sendiri dan bagaimana guru tersebut berusaha untuk mencapai tahap organisasi iklim sekolah berkenaan. Seterusnya, Howard (1974) mendefinisikan iklim sekolah sebagai keadaan sosial dan budaya sekolah itu yang mempengaruhi tingkah laku orang di dalamnya. Pusat Perkembangan Kurikulum (1981) mendefinisikan iklim sekolah sebagai suasana sekolah yan

PENGURUSAN STRATEGIK DAN IKLIM SEKOLAH MEMPENGARUHI KEPUASAN KERJA GURU

PENGENALAN Tugasan ini membincangkan mengenai perhubungan antara pengurusan strategik dan iklim sekolah terhadap kepuasan kerja. Di dalam tugasan ini, terdapat dua pembolehubah yang tidak bersandar iaitu pengurusan strategik dan iklim sekolah. Manakala, pembolehubah yang bersandar adalah kepuasan kerja guru. Perkaitan antara dua jenis pembolehubah ini dibaincangkan bagi melihat sama ada terdapat perhubungan yang signifikan ataupun tidak   2.0    KONSEP PENGURUSAN STRATEGIK 2.1    Definisi Apakah yang dimaksudkan dengan pengurusan strategik? Terdapat pelbagai definisi yang diberikan tentang konsep ini. Dua istilah penting di sini iaitu 'pengurusan' dan 'strategik' membawa pengertian yang mendalam dan penting di mana gabungan kedua-duanya pula menjelaskan proses pengurusan yang kritikal yang berlaku dalam mana-mana organisasi. Menurut Peter Drucker (1972), pengurusan ialah satu proses sosial yang dibentuk untuk mendapatkan kerjasama, penyertaan dan penglibatan ahli-ahli