Tajuk Jurnal: 
TAHAP KOMPETENSI JEMAAH NAZIR SEKOLAH DAN HUBUNGANNYA DENGAN KEMAHIRAN MENILAI KUALITI PENGURUSAN SEKOLAH 
					
    Kajian ini telah dijalankan oleh  Mohd Idrus Kadir, Mohammed Sani Ibrahim dan Jamil Ahmad. Ia diperolehi menerusi sumber Prosiding Seminar Penyelidikan Siswazah 187. Kajian ini dijalankan oleh pengkaji bagi menentukan tahap kompetensi Jemaah Nazir  Sekolah  (JNS)  dan  hubungannya  dengan  kemahiran  menilai  kualiti pengurusan sekolah.     
    Kajian ini dijalankan bagi menjawab beberapa persoalan yang wujud tentang tahap kompetensi Nazir Sekolah dalam melakukan penilaian terhadap kualiti pengurusan sesebuah sekolah. Pada pendapat saya, pernyataan masalah yang ditulis adalah berasakan kerangka konseptual yang memperjelaskan arah pemfokusan  dan hala tuju kajian iaitu mengenai perhubungan antara tahap kompetensi Nazir Sekolah (NS) dengan aspek mengendali penaziran, aspek pengurusan sekolah, aspek jantina dan pengalaman, aspek kemahiran dan keyakinan peribadi serta mencari pemboleh ubah yang menyumbang kepada kemahiran dan keyakinan NS.    
    Kajian ini mempunyai rasional secara teori kerana pengkaji telah memfokuskan kepada kepentingan kompetensi oleh Nazir Sekolah untuk menilai kualiti pengurusan terhadap sesebuah sekolah bagi mengelakkan sebarang keraguan oleh pihak yang dinilai. Kajian ini adalah penting bagi jemaah Nazir menilai serta meningkatkan tahap profesionalisme di kalangan mereka supaya dapat diterima oleh masyarakat pendidik. Tahap kompetensi juga mempunyai hubungan signifikan dalam konsep Pengurusan Kualiti Menyeluruh (TQM). Jadi, adalah penting bagi pihak jemaah nazir mencapai tahap kompetensi yang tinggi supaya model TQM dapat dilaksanakan dengan jayanya bagi sesebuah sekolah. Pelbagai perubahan dinamik  yang berlaku  di  sekolah  menuntut  setiap  anggota  Jemaah Nazir Dan Jaminan Kualiti (JNJK)  mempunyai  tahap  kompetensi yang amat tinggi dalam menjalankan tugas penaziran di institusi pendidikan. 
    Kajian yang dijalankan ini adalah mempunyai kepentingan terhadap pengurusan kualiti pihak Nazir Sekolah (NS) dalam memastikan setiap ahli-ahlinya mempunyai tahap kompetensi yang tinggi dalam menilai kualiti pengurusan sekolah dari aspek pengurusan kepimpinan organisasi, pengurusan kurikulum, pengurusan kokurikulum dan pengurusan HEM.
    Daripada pembacaan yang dibuat, tiada kajian literatur yang dinyatakan oleh pengkaji dalam kajian ini. Pengkaji hanya mencatatkan mengenai pengenalan terhadap Jemaah Nazir Sekolah (JNS) yang kini dikenali sebagai Jemaah Nazir Sekolah dan Jaminan Kualiti  (JNJK). Pengkaji juga menyatakan tentang skop-skop penaziran yang menjadi asas kepada pembentukan persoalan-persoalan kajian.
    Hipotesis (15 hipotesis) yang banyak telah dikemukakan oleh pengkaji pada masa yang sama menyebabkan kajian ini tidak mempunyai fokus yang jitu. Hipotesis yang dikemukakan oleh pengkaji dapat menjawab persoalan yang dikemukakan pada bahagian persoalan kajian. Tetapi, terlalu banyak pemboleh ubah yang digunakan menjadikan kajian ini tidak memadai (reasonable). Tambahan pula hipotesis yang dikemukakan tidak berasaskan daripada fakta dan tinjauan literatur kerana kajian ini tidak dinyatakan tinjauan literaturnya. 
    Definisi secara operasi telah dinyatakan di dalam kajian ini. Terdapat satu kerangka konseptual yang menerangkan matrik kompetensi Nazir Sekolah bagi menguji hipotesis yang digunakan seterusnya menjawab persoalan yang dinyatakan. Pengkaji telah membuat  pengukuran terhadap tahap kompetensi Jemaah Nazir melalui persoalan-persoalan seperti yang dinyatakan di atas. Pengukuran dapat dibuat dengan analisis secara statistik terhadap kesemua hipotesis sama ada signifikan atau tidak.
    Pengkaji telah menggunakan kaedah yang bersesuaian dan telah dapat menjawab persoalan yang dikemukakan. Kajian  ini berbentuk tinjauan yang menggunakan pendekatan kuantitatif. Soal selidik digunakan sebagai  instrumen kajian disebabkan kajian ini menggunakan sampel yang besar. Soal selidik yang digunakan oleh berasaskan kerangka konseptual kajian, tinjauan ke perpustakaan dan pandangan pakar. Kaedah yang digunakan adalah bersesuaian dengan matlamat kajian untuk memperoleh nilai secara statistik terhadap persoalan kajian dan menguji hipotesis sama ada mempunyai hubungan yang signifikan atau tidak.
     Sampel  kajian  ini  terdiri  daripada  164  orang  nazir  sekolah  dari  semua  pejabat Jemaah  Nazir  Sekolah  dan  Jaminan  Kualiti  (JNJK)  seluruh  negara.  Jumlah  nazir sekolah  yang  terlibat  sebagai  sampel  ialah  sebanyak  115  lelaki  (70.1%)  dan  49 perempuan  (29.9%).  Pengkaji  menggunakan  saranan  Krejcie  dan Morgan  (1970) dalam menentukan saiz sampelnya. Pensampelan Rawak Berstrata digunakan dalam kajian ini kerana terdapat ciri-ciri yang tidak seimbang dalam populasi  khususnya  keseimbangan  jantina.  Dengan  cara  ini  setiap  ahli  di  dalam populasi mempunyai peluang yang sama terpilih menjadi sampel dan setiap jantina dapat  diwakili.  Selain  itu,  teknik  ini  digunakan  untuk memastikan  setiap  pejabat cawangan  JNJK mempunyai wakil yang mencukupi untuk dibuat kajian di samping dapat mengawal kesahan dalaman sampel. Sampel yang dipilih ini didapati dapat mewakili populasi Jemaah Nazir yang dikaji.
    Didapati tiada ralat sumber yang nyata dilakukan oleh pengkaji di dalam kajian beliau. Sedikit ralat mungkin akan berlaku daripada maklum balas responden terhadap soal selidik yang dilakukan. Responden mungkin memberikan jawapan yang tidak tepat di dalam borang soal selidik yang diedarkan. Ini telah dikawal oleh pengkaji dengan mengedarkan jumlah soal selidik dalam bilangan yang banyak iaitu sebanyak 164.
    Kaedah secara statistik digunakan di dalam kajian ini. Penganalisisan data dibuat menggunakan program  SPSS versi 16. Objektif  kajian  dianalisis dengan  menggunakan  statistik  Analisis  Varians  (ANOVA),  analisis  Varians Multivariat  (MANOVA)  dan  Regresi  Berganda  (Stepwise). Kaedah in telah menunjukkan setiap item yang dikaji mempunyai nilai kebolehpercayaan yang tinggi. Pengkaji telah menggunakan pelbagai kaedah statistik bagi menjawab objektif seperti yang dikemukakan di bahagian masalah kajian. Kaedah yang digunakan adalah bersesuaian dan sepadan dengan matlamat kajian untuk memperoleh nilai secara statistik terhadap persoalan kajian dan menguji hipotesis sama ada mempunyai hubungan yang signifikan atau tidak.
    Keputusan kajian dipersembahkan dengan jelas berdasarkan analisa yang dilakukan. Keputusan kajian dihuraikan secara terperinci kepada dua bahagian iaitu Rumusan Analisis Faktor Demografi dan Rumusan Analisis Objektif Kajian. Daripada Rumusan Analisis Faktor Demografi, Kajian  ini mendapati  sebanyak  66.5%  responden  berpengalaman dalam penaziran    iaitu  sekurang-kurangnya  berpengalaman  empat tahun  dan  lebih  dalam menaziri  sekolah.  Dari  sudut  latihan  yang  diperlukan  NS, didapati mereka memerlukan  latihan atau kursus berkaitan pengurusan kurikulum dan  pengurusan  kepimpinan  organisasi  berbanding  kursus  lain  iaitu  kursus pengurusan  HEM  dan  pengurusan  kokurikulum  sekolah.  Walau  bagaimanapun, sungguhpun  NS  terdiri  daripada  profil  yang  pelbagai  serta  amat  berpengalaman, kajian mendapati sebanyak 58.5% NS masih memerlukan kursus penulisan laporan bagi sesuatu pemeriksaan sekolah yang dijalankan. Manakala daripada Rumusan Analisis Objektif Kajian,
				terdapat dua pembolehubah  kompetensi  NS  didapati menyumbang  kepada  kemahiran  NS menilai  kualiti pengurusan sekolah iaitu pemboleh ubah memberi khidmat profesional dan mengurus diri. Pada pendapat saya, kajian ini telah menunjukkan bahawa masih terdapat kelemahan di dalam Jemaah Nazir yang perlu diberi penambahbaikan supaya tahap profesionalisme di kalangan mereka tidak diragui oleh banyak pihak.
    Terdapat kekangan yang dihadapi oleh pengkaji dalam menjalankan kajian ini. Pengkaji mendapati bilangan yang tidak seimbang dalam  populasi  nazir sekolah (NS) dari segi jantina. Bagi mengatasi keadaan ini, pengkaji menggunakan Teknik Pensampelan Rawak Berstrata.    
    Kesimpulan kajian dinyatakan dengan jelas. Ini disokong dengan persembahan data-data yang dianalisis secara statistik iaitu statistik deskriptif dan statistik inferensi. Secara  keseluruhannya,  NS  merasakan  mereka  mempunyai  kemahiran  dan keyakinan  yang  amat  tinggi  bagi  menaziri  sekolah.  Walau  bagaimanapun, pihak  pegawai  atasan  NS mendapati  sebaliknya  iaitu  NS  hanya mempunyai kemahiran dan keyakinan yang tinggi dalam menaziri sekolah. Selain itu, didapati juga NS  mempunyai  tahap  keyakinan  yang  amat  tinggi  berbanding  tahap kemahiran bagi menaziri sekolah. Dari  perspektif  pegawai  atasan,  sebilangan  kecil  NS  mempunyai  tahap keyakinan  dan  kemahiran  yang  amat  tinggi. Manakala  sebahagian  besar  NS belum  mencapai  tahap  kompetensi  yang  unggul  bagi  menaziri  sekolah.  Ini bermakna kewibawaan NS mudah dipertikaikan oleh pihak lain. Didapati juga, faktor pengalaman menaziri sekolah adalah  lebih penting berbanding  faktor jantina bagi menaziri sekolah. Selain itu, tidak  terdapat  perbezaan  yang  signifikan  antara  tahap  kemahiran  dan keyakinan peribadi NS dengan kemahiran menilai kualiti pengurusan sekolah dalam kalangan NS. Terdapat  korelasi  positif  yang  sederhana  kuat  antara  tahap  kemahiran  dan keyakinan  kompetensi  peribadi  NS  dengan  tahap  kemahiran menilai  kualiti pengurusan sekolah dalam kalangan NS. Faktor  kemahiran  memberi  khidmat  profesional  dan  kemahiran  mengurus diri  adalah  penyumbang  utama  (R2=52.3%)  NS menaziri  kualiti  pengurusan sekolah. Kajian ini menunjukkan bidang penaziran menuntut kepada pengalaman, kemahiran memberi khidmat sokongan dan mengurus diri di kalangan Nazir Sekolah. Ini dapat menjamin tahap kompetensi yang tinggi di kalangan jemaah nazir dalam membuat penilaian terhadap kualiti sesuatu sekolah.
 
 
 
.
Comments
Post a Comment