Skip to main content

Article review

Tajuk Jurnal: Slovak High School Students' Attitudes To ICT Using In Biology Lesson

Oleh:

Milan Kubiatko

(Faculty of Education, Masaryk University, Educational Research Centre, Porici 31, 603 00 Brno, Czech Republic)

dan

Zuzana Haláková


(Faculty of Natural Sciences, Comenius University, Department of Didactic in Sciences, Psychology and Pedagogy, Mlynská dolina, 842 15 Bratislava 4, Slovakia)

Latar Belakang Kajian

Penggunaan ICT (Information And Communication Technologies) pada masa kini adalah secara intensif. ICT digunakan secara meluas di dalam kehidupan seharian manusia termasuklah juga dalam bidang pendidikan. Osborne and Hennessy (2001) melaporkan bahawa ICT telah berjaya meningkatkan keberkesanan di dalam penyampaian maklumat dan merangsang minat pelajar untuk belajar. Slovakia merupakan salah sebuah negara membangun yang mengaplikasikan penggunaan komputer dan ICT di dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P). ramai yang berminat dan tidak kurang pula yang mengkritik penggunaan komputer di sekolah-sekolah menengah dan rendah. Di negara ini juga terdapat suatu usaha yang hebat antara kerajaan dan orang ramai dalam memperkenalkan ICT di dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Kajian ini dibuat kerana masih terdapat kekurangan artikel yang mengkaji sikap pelajar terhadap penggunaan ICT di dalam pelajaran mereka. Dengan pertambahan yang pesat dalam penggunaan komputer di sekolah-sekolah di Slovakia, penggunaan ICT bukan setakat untuk mata pelajaran yang mencari maklumat, tetapi semua mata pelajaran yang diajar di sekolah. Peningkatan sikap pelajar terhadap kemudahan ICT juga berhubung kait dengan proses instalasi ICT di sekolah.

    Tujuan kajian ini dijalankan adalah untuk melihat status terkini antara sikap pelajar lelaki dan pelajar perempuan terhadap penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran Biologi. Ia juga dapat meningkatkan lagi penerbitan-penerbitan yang berkaitan dengan mengkaji sikap pelajar terhadap penggunaan ICT bergantung kepada umur para pelajar. Selain itu, kajian ini juga dilakukan untuk melihat pelajar terhadap penggunaan ICT di dalam mata pelajaran Biologi (sama ada positif atau tidak). Tiga persoalan yang timbul daripada kajian yang dibuat ini ialah:

  1. Apakah sikap pelajar terhadap penggunaan ICT bagi mata pelajaran Biologi?
  2. Adakah terdapat perbezaan sikap antara pelajar lelaki dan pelajar perempuan terhadap penggunaan ICT dalam mata pelajaran Biologi?
  3. Adakah terdapat apa-apa perbezaan antara pelajar yang berlainan umur terhadap penggunaan ICT dalam mata pelajaran Biologi?

Daripada penilaian persoalan di atas, pengkaji telah mengemukakan 2 hipotesis iaitu:

  1. Pelajar lelaki lebih positif terhadap penggunaan ICT berbanding pelajar perempuan
  2. Pelajar lebih berumur (menengah atas) mempunyai sikap yang lebih positif terhadap ICT berbanding pelajar baru (menengah rendah)

Kajian Ilmiah (Tinjauan Literatur)

Pengkaji telah mengkaji beberapa kajian terdahulu yang dibuat terutamanya dalam kajian yang melibatkan sikap positif terhadap ICT di dalam bidang pendidikan. Ferrer (2002) melaporkan bahawa pendekatan multimedia seperti penggunaan CD ROM, PowerPoint dan perisian grafik telah berjaya menghasilkan pemahaman secara konseptual di kalangan pelajar. Guru-guru yang menggunakan ICT di dalam pengajaran dan pembelajaran juga didapati meningkat dari segi keyakinan sewaktu mengajar (Gilmore, 1995). Pengajaran dan pembelajaran berbantukan komputer juga dapat meningkatkan pencapaian dan sikap pelajar terhadap mata pelajaran sains (Yu,1998).

    Daripada aspek kesan motivasi pelajar, pengkaji telah membuat tinjauan terhadap beberapa kajian terdahulu seperti kajian yang dibuat oleh Kenwell, 2001. Kajian ini mengingatkan bahawa penggunaan ICT hanyalah sebagai salah satu komponen dalam proses pengajaran terutamanya kerana ciri-ciri khas yang boleh diaplikasikan ke dalam mata pelajaran seperti kepantasan, kemampuan dan julat untuk mendapatkan maklumat secara pemprosesan automatik data, kemudahan untuk mengubahsuai kerja dan untuk mendapatkan maklum balas yang cepat daripada para pelajar. Tinjauan seterusnya dilihat ke atas kajian yang dibuat oleh Cooper dan Brna (2002). Cooper dan Brna menyimpulkan bahawa jika ICT dirancang dengan teliti dan dijalankan mengikut pedagogi, ia dapat menyokong perhubungan dengan motivasi dan seterusnya dapat menggalakkan pembelajaran yang lebih bermakna dalam jangka masa yang panjang.

    Untuk kajian sikap terhadap terhadap penggunaan ICT pula, terdapat banyak tinjauan literasi yang dibuat oleh pengkaji. Antaranya adalah kajian yang dibuat oleh Lee (1970). Beliau telah mencadangkan dua dimensi sikap terhadap penggunaan komputer iaitu: (1) kepercayaan bahawa komputer adalah peralatan yang berguna dan (2) kepercayaan bahawa komputer adalah entiti berautonomi (autonomous entities). Di dalam kajian yang dibuat oleh Winter, Chudoba dan Guntek (1998), mendapati bahawa terdapat hubungkait antara sikap terhadap komputer dengan bilangan jam penggunaan komputer.

Seterusnya, tinjauan juga dilakukan untuk melihat perhubungan di antara sikap dengan jantina pelajar terhadap penggunaan ICT. Antara tinjauan yang dibuat oleh pengkaji adalah oleh Dorup (2004). Beliau mendapati bahawa pelajar lelaki lebih banyak mengakses komputer di rumah dan lebih menunjukkan sikap positif terhadap pengajian perubatan berbanding pelajar perempuan. Pelajar lelaki juga secara signifikan lebih cenderung untuk menggantikan kaedah pengajaran dan pembelajaran tradisional dengan sumber-sumber ICT yang lebih baik. Kaplan (1994) telah membandingkan penggunaan komputer antara golongan lelaki dan perempuan. Golongan perempuan percaya bahawa penggunaan komputer peribadi adalah menyeronokkan manakala golongan lelaki memilikinya sebagai mesin. Golongan perempuan mahukan kebolehan menggunakan mesin manakala lelaki lebih berminat untuk memberi arahan kepada mesin dan menguasainya. Brosnan (1998) mendapati bahawa pelajar lelaki yang berumur 6-11 tahun bersikap lebih positif berbanding pelajar perempuan. Manakala Graff (2003) mendapati bahawa pelajar perempuan kurang berminat menggunakan komputer dan kurang berkeyakinan dalam penggunaan ICT berbanding pelajar lelaki. Tetapi, terdapat juga kajian terkini yang menunjukkan perhubungan yang sebaliknya. Contohnya, kajian yang dibuat oleh Fančovičová and Prokop (2008) mendapati bahawa tiada terdapat perbezaan yang signifikan antara jantina dan sikap terhadap penggunaan ICT.

Bagi melihat perhubungan antara umur pelajar dengan sikap terhadap ICT, pengkaji telah meninjau terhadap 2 kajian kerana tidak terdapat banyak kajian yang dilakukan di dalam bidang ini. Didapati bahawa pelajar-pelajar junior (lelaki dan perempuan) mempunyai sikap yang lebih positif terhadap penggunaan ICT berbanding pelajar yang lebih senior (Comber, Colley, Hargreaves, & Dorn, 1997; Laguna & Babcock, 1997). Tetapi, terdapat juga kajian yang menunjukkan bahawa pelajar senior lebih bersikap positif berbanding pelajar junior (Bozionelos, 2001).

Metodologi Kajian

Kajian ini berbentuk kuantitatif dengan menggunakan soal selidik sebagai instrumen. Instrumen yang dimaksudkan adalah soal selidik yang berkaitan dengan sikap terhadap ICT ( ICT Attitudes Questionaire, IAQ) yang dibina oleh pengkaji sendiri. Soal selidik yang digunakan terdiri daripada dua bahagian iaitu bahagian pertama berkenaan demografi pelajar: nama, jantina, umur dan tahun belajar. Bahagian yang kedua terdiri daripada 33 item berdasarkan kepada pendapat pelajar tentang ICT. Setiap item di dalam soal selidik pula adalah berdasarkan 5 skala Likert (1932). Item yang digunakan ini mempunyai nilai kebolehpercayaan yang tinggi (Cronbach Alpha = 0.82). Faktor analisis yang digunakan untuk penilaian statistik dikenalpasti mempunyai lima dimensi iaitu:(1) pengaruh positif ICT; (2) pengaruh negatif ICT; (3) kelebihan ICT; (4) penggunaan ICT dalam mata pelajaran Biologi dan (5) kelemahan-kelemahan ICT.

    Seterusnya, pengkaji membuat penilaian terhadap analisis varians (ANOVA) untuk mengenal pasti sama ada terdapat perhubungan yang signifikan antara umur dan tahun belajar dengan sikap terhadap ICT. Kajian yang dibuat ini adalah sangat bersesuaian dengan pembolehubah yang dikaji kerana kaedah soal selidik dan statistik mempunyai nilai kebolehpercayaan yang tinggi.

    Sampel yang digunakan oleh pengkaji pula terdiri daripada bilangan yang besar melibatkan 518 orang pelajar daripada 9 buah sekolah di seluruh Slovakia. Sekolah yang dipilih adalah berdasarkan kepada sekolah yang menggunakan komputer sebagai komponen pengajaran dan pembelajaran. Daripada 518 sampel yang diambil, 322 adalah pelajar perempuan (62.19%), 27.9% pelajar tahun pertama, 24.3% pelajar tahun kedua, 36.14% pelajar tahun ketiga dan 11.6% pelajar tahun keempat. Julat umur pelajar adalah antara 15 hingga 19 tahun. Responden-responden mengisi borang soal selidik sepanjang proses pengajaran yang dibekalkan kepada guru masing-masing. Masa menjawab soal selidik adalah tidak melebihi daripada 20 minit.

Dapatan kajian

Pengkaji menggunakan Kolerasi Pearson untuk mengkaji perhubungan antara setiap dimensi. Nilai kolerasi yang paling tinggi adalah antara faktor 3 (kelebihan ICT) dan faktor 4 (penggunaan ICT dalam mata pelajaran Biologi). Pengkaji telah perkaitan yang signifikan antara jantina pelajar. Pelajar lelaki adalah lebih bersikap positif terhadap ICT berbanding pelajar perempuan. Penemuan secara statistik juga dilihat daripada aspek umur. Daripada ujian pos (Fishers' LSD) yang dibuat, keputusannya menunjukkan pelajar yang lebih junior lebih bersikap positif terhadap ICT berbanding pelajar yang lebih senior. Dalam kajian dimensi, 82% pelajar percaya bahawa ICT menjadikan pengajaran dan pembelajaran Biologi lebih menarik jika dibandingkan dengan situasi tiada penggunaan ICT. Dianggarkan ¾ pelajar percaya bahawa CD pembelajaran untuk alat bantu mengajar dapat meningkatkan proses kognitif mereka. Hampir 85% pelajar dapat memberi tumpuan kepada proses pengajaran apabila komputer dipasang. Persepsi pelajar secara keseluruhannya adalah positif terhadap penggunaan komputer dan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran Biologi di sekolah.

Kepentingan kajian

Kajian ini adalah sangat penting bagi melihat sikap terhadap penggunaan ICT di dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang melibatkan mata pelajaran sains seperti Biologi. Pengkaji cuba menyiasat beberapa bidang kajian iaitu (1) Kajian sikap berdasarkan jantina dalam pengajaran Biologi dan (2) kajian sikap berdasarkan umur terhadap penggunaan ICT. Ini kerana bilangan kajian yang dibuat di negara Slovakia masih lagi berkurangan dan kajian ini dapat membuktikan bahawa pengajaran dan pembelajaran menggunakan ICT adalah sangat penting.

    Kajian ini juga dapat menunjukkan bahawa pelajar lelaki mempunyai sikap yang lebih positif terhadap ICT dan pelajar yang lebih junior juga bersikap yang lebih positif terhadap ICT berbanding pelajar senior.

Perbincangan dan cadangan

Keputusan kajian yang dibuat ini adalah selaras dengan kajian perbandingan jantina yang dibuat oleh Comberet al., 1997; Durndell & Thomson, 1997. Ia merupakan perkara normal di mana masyarakat menganggap lelaki adalah lebih cekap secara teknikal. Perkara yang sama juga dikaji oleh Cooper pada 2006. Cooper (2006) menulis yang masyarakat umum percaya bahawa lelaki lebih berminat dalam menggunakan komputer dan lebih cekap dalam penyelenggaraannya. Tetapi, terdapat juga kajian yang melaporkan bahawa tidak terdapat perbezaan tingkah laku dalam jantina (Fančovičová and Prokop, 2008). Dapatan kajian yang menunjukkan bahawa pelajar junior adalah lebih bersikap positif adalah kerana sebab-sebab tertentu. Pelajar junior menggunakan komputer dalam aktiviti yang tidak berkaitan dengan aktiviti kerja. Mereka juga tidak melihat keburukan yang berkaitan dengan penggunaan perisian dan perkakasan. Pelajar senior pula kebanyakannya menggunakan komputer untuk aktiviti kerja dan mereka mendapati komputer tidak berfungsi seperti yang diharapkan.

Terdapat juga persoalan tentang bagaimana guru dapat meningkatkan sikap positif terhadap ICT. Penggunaan ICT adalah berguna sewaktu kelas dijalankan dan pelajar berminat dengan aktiviti interaktif yang menggabungkan pengajaran secara bersemuka dengan aktiviti online. Pengajaran Biologi akan menjadi lebih menarik jika perlaksanaan menggunakan PowerPoint dijalankan bersama aktiviti lain yang memperkuatkan lagi pemahaman konsep pelajar. Ini juga bergantung kepada kebolehan seseorang guru itu sendiri untuk memanfaatkan penggunaan ICT dalam mata pelajaran ini.

Kajian yang selanjutnya perlu tentang ICT dalam mata pelajaran ini iaitu sikap pelajar terhadap ICT kerana kita memerlukan aras yang betul untuk melihat penggunaannya dalam pengajaran. Diharapkan kajian seperti ini juga dapat dilakukan di Malaysia kerana negara kita juga dengan sokongan penuh daripada pihak kerajaan telah membekalkan banyak peralatan dan perisian ICT bagi pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik. Ini dapat diperkuatkan lagi penggunaannya di dalam mata pelajaran sains tulen seperti Biologi. Kemudahan yang telah tersedia ini perlu dimanfaatkan demi kemajuan para pelajar di negara kita. Selain itu, kajian yang lanjut juga perlu dibuat terhadap setiap mata pelajaran yang lain. Aspek kebolehan seseorang guru dalam mengendalikan dan mengaplikasikan penggunaan ICT di dalam pengajaran dan pembelajaran juga perlu dikaji dengan lebih terperinci bagi membolehkan pelajar sukakan sesuatu mata pelajaran dan seterusnya menjadikan pembelajaran mereka lebih bermakna.

Rujukan:

Brewer, C. (2003). Computers in the classroom: How information technology canimprove conservation education. Conservation Biology, 17(3), 657–660.

Brosnan, M. J. (1998). The role of psychological gender in the computer-related attitudes and attainments of primary school children (aged 6–11). Computers &
Education, 30(3–4), 203–208.

Comber, C., Colley, A., Hargreaves, D. J., & Dorn, L. (1997). The effects of age, gender computer experience upon computer attitudes. Educational Research, 39(2), 123–133.

Cooper, J. (2006). The digital divide: The special case of gender. Journal of Computer Assisted Learning, 22(5), 320–334.

Cooper, B., & Brna, P. (2002). Supporting high quality interaction and motivation in the classroom using ICT: The social and emotional learning and engagement in the NIMIS project. Education Communication & Information, 2(2–3), 113–138.

Dorup, J. (2004). Experience and attitudes towards information technology among year medical students in Denmark: Longitudinal questionnaire survey. Journal of Medical Internet Research, 6(1), e10.

Fančovičová, J., & Prokop, P. (2008). Students' attitudes toward computer use in Slovakia. Eurasia Journal of Mathematics Science & Technology Education, 4(3), 255–262.

Ferrer, L. M. (2002). Computer integration in science and mathematics teaching. In H. S. Dhindsa, I. P. A. Cheong, C. P. Tendencia, & M. A. Clements (Eds.), Realities in
science, mathematics and technical education (pp. 87–93). Gadong: Universiti Brunei Darussalam.

Gilmore, A. M. (1995). Turning teachers on to computers: Evaluation of a teacher development program. Journal of Research on Computing in Education, 27(3), 251–269.

Graff, M. (2003). Cognitive style and attitudes towards using online learning and assessment methods. Electronic Journal of e-Learning, 1(1), 21–28.

Haunsel, P. B., & Hill, R. S. (1989). The microcomputer and achievement and attitudes in high school biology. Journal of Research in Science Teaching, 26(6), 543–549.

Kaplan, R. (1994). The gender gap at the PC keyboard. American Demographics, 16(1),18. , S. (2001). Using affordances and constraints to evaluate the use of information and communications technology in teaching and learning. Journalof Information Technology for Teacher Education, 10(1–2), 101–116.

Lee, R. (1970). Social attitudes and the computer revolution. Public Opinion Quarterly, 34(1), 53–59.

Winter, S. J., Chudoba, K., & Gutek, B. A. (1998). Attitudes toward computers: When do they predict computer use? Information and Management, 34(5), 275–284.

Yu, F. Y. (1998). The effects of cooperation with inter-group competition on performance and attitudes in a computer-assisted science instruction. Journal of
Computers in Mathematics and Science Teaching, 17(4), 381–395.

Comments

Popular posts from this blog

KERTAS KERJA PROGRAM LAWATAN SAMBIL BELAJAR

PROGRAM LAWATAN SAMBIL BELAJAR PELAJAR-PELAJAR PERSATUAN SAINS SMK SULTAN YAHYA PETRA 1 KE IPOH DAN TAIPING PADA 7-9 APRIL 2011   PENDAHULUAN Lawatan sambil belajar pelajar-pelajar Persatuan Sains SMK Sultan Yahya Petra 1, Kelantan ke Ipoh dan Taiping, Perak terdiri daripada 30 orang pelajar dan 3 orang guru sains. Matlamat Persatuan Sains ini diperkenalkan di SMK Sultan Yahya Petra 1 adalah untuk melahirkan pelajar-pelajar yang mempunyai minat yang tinggi di dalam bidang sains, seterusnya dapat memberikan pendedahan tentang kerjaya di dalam bidang sains dan teknologi.   Dalam usaha mencapai matlamat ini, Persatuan Sains mengambil inisiatif untuk mengadakan lawatan sambil belajar ke beberapa tempat yang menarik dan sesuai dengan bidang sains dan teknologi. Oleh yang demikian, Institut Penyelidikan Veterinar, Jabatan Geosains dan Mineral serta Bukit Merah Resort menjadi destinasi pilihan kerana terdapat pelbagai contoh yang boleh memberikan pengetahuan serta pengalaman baru dalam bidan

KEPENTINGAN IKLIM SEKOLAH YANG POSITIF

Definisi iklim sekolah yang positif Ciri-ciri sekolah seperti struktur fizikal bangunan dan interaksi antara pelajar dan guru-guru merupakan dua faktor besar yang mempengaruhi dan membantu dalam member takrifan terhadap konsep iklim sekolah yang sangat luas ini. Iklim sekolah telah dikaji oleh para pengkaji beberapa tahun yang lalu dan masih lagi berterusan untuk dikenalpasti dan diperhalusi lagi sebagai satu keputusan yang signifikan yang mempengaruhi hasil-hasil dalam bidang pendidikan. Halpin dan Croft (1963) yang merupakan perintis dalam kajian iklim sekolah mengatakan bahawa iklim sekolah menggambarkan personaliti seseorang individu sendiri dan bagaimana guru tersebut berusaha untuk mencapai tahap organisasi iklim sekolah berkenaan. Seterusnya, Howard (1974) mendefinisikan iklim sekolah sebagai keadaan sosial dan budaya sekolah itu yang mempengaruhi tingkah laku orang di dalamnya. Pusat Perkembangan Kurikulum (1981) mendefinisikan iklim sekolah sebagai suasana sekolah yan

PENGURUSAN STRATEGIK DAN IKLIM SEKOLAH MEMPENGARUHI KEPUASAN KERJA GURU

PENGENALAN Tugasan ini membincangkan mengenai perhubungan antara pengurusan strategik dan iklim sekolah terhadap kepuasan kerja. Di dalam tugasan ini, terdapat dua pembolehubah yang tidak bersandar iaitu pengurusan strategik dan iklim sekolah. Manakala, pembolehubah yang bersandar adalah kepuasan kerja guru. Perkaitan antara dua jenis pembolehubah ini dibaincangkan bagi melihat sama ada terdapat perhubungan yang signifikan ataupun tidak   2.0    KONSEP PENGURUSAN STRATEGIK 2.1    Definisi Apakah yang dimaksudkan dengan pengurusan strategik? Terdapat pelbagai definisi yang diberikan tentang konsep ini. Dua istilah penting di sini iaitu 'pengurusan' dan 'strategik' membawa pengertian yang mendalam dan penting di mana gabungan kedua-duanya pula menjelaskan proses pengurusan yang kritikal yang berlaku dalam mana-mana organisasi. Menurut Peter Drucker (1972), pengurusan ialah satu proses sosial yang dibentuk untuk mendapatkan kerjasama, penyertaan dan penglibatan ahli-ahli